Wednesday, 27 November 2013

Scotland dan Borneo, Mampukah Kita Mencapai Misi yang Sama?

Wahai rakyat Sarawak sekalian,

Pada 18 September 2014, Scotland bakal membuat keputusan mengenai nasib mereka melalui referendum, sama ada untuk menjadi sebuah negara yang merdeka atau mereka kekal dengan UK. Terdapat reaksi bercampur di antara rakyat Scotland mengenai isu ini. Scotland telah berjuang selama hampir 300 tahun untuk mendapatkan kemerdekaan.

Kerajaan United Kingdom dan Kerajaan Scotland telah bersetuju untuk bekerjasama untuk memastikan bahawa referendum mengenai kemerdekaan Scotland boleh berlaku.

Kerajaan-kerajaan telah bersetuju untuk mempromosikan Perintah Dalam Majlis di bawah Seksyen 30 Akta Scotland 1998 di United Kingdom dan Parlimen Scotland untuk membenarkan referendum soalan tunggal mengenai kemerdekaan Scotland yang akan diadakan sebelum akhir 2014.

Perintah ini akan jelas menunjukkan bahawa Parlimen Scotland boleh membuat undang-undang untuk referendum itu. Ia kemudian akan mengagalakkan Kerajaan Scotland untuk mengusulkan undang-undang di Parlimen Scotland untuk referendum kemerdekaan. Kerajaan-kerajaan berkenaan telah bersetuju bahawa referendum tersebut harus memenuhi standard tertinggi keadilan, ketelusan dan hak milik, dimaklumkan melalui perundingan dan nasihat pakar bebas.

Sekarang, soalannya adalah mampukah Sarawak melakukan perkara yang sama? Adakah kerajaan sekarang membolehkan kita untuk berbuat demikian? Itu adalah soalan yang kritikal. Kita memerlukan referendum yang sah, bukan yang haram di mana kerajaan persekutuan boleh mempertikaikan kesahihan dan mengklasifikasikannya sesuatu yang menghasut. Saya bukan bersikap pengecut di sini tetapi sebaliknya kita perlu berhati-hati dengan apa yang kita lakukan. Kami mahu ia dilakukan dengan cara yang sangat sistematik, bukan tergesa-gesa. Perancangan yang betul adalah amat penting bagi memastikan peluang kejayaan yang lebih besar

Sarawak telah lama dipinggirkan dari segi pembangunan dan peruntukan belanjawan. Kebanyakan jabatan-jabatan kerajaan juga telah diambil alih oleh kerajaan persekutuan. Kita sebenarnya mempunyai kawalan ke atas sistem pendidikan, bahasa rasmi, kewangan, cukai dan lain-lain tetapi Malaya telah mengambil alih hampir semua itu dari kita kononnya atas nama integrasi antara Tanah Melayu dan kedua-dua wilayah Borneo. Begitu juga dengan Scotland. Scotland selama ini tidak mempunyai kawalan penuh ke atas hasil dan sumber-sumber semulajadi mereka. Itulah sebab mereka berpendapat bahawa gabungan politik antara Scotland dan British sudah tidak relevan dan pada musim luruh tahun depan rakyat Scotland bakal menentukan nasib mereka melalui referendum.
 
I think independence is about control your finance, your resources: gas and oils and renewable resources, and also control your own revenue. When you control your own revenue, you then control your spending and help to distribute that among the population. Then you are a genuine independent country. — Alex Salmond, First Minister of Scotland 

Begitulah pendapat menteri Scotland yang pertama mengenai sesebuah negara yang merdeka. Sabah dan Sarawak merupakan negara yang berdaulat sebelum pembentukan Persekutuan Malaysia 1963. Ingat, konsep persekutuan bermaksud terdapat sesebuah kerajaan pusat dan juga kerajaan negeri. Negeri disini bukan merujuk kepada 11 negeri komponen di Persekutuan Tanah Melayu tapi merujuk kepada 3 wilayah iaitu:— Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. Hakikatnya, Perjanjian Malaysia 1963 ditandatangani oleh 4 wilayah yang berdaulat:— Sabah, Sarawak, Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura. Singapura disingkirkan dari persekutuan pada 9 Ogos 1965.

Apabila saya tahu tentang perjuangan Scotland dalam mencapai kemerdekaan saya berasa amat bersemangat dan patriotik terhadap Negara Sarawak. Saya dapat membayangkan saat Sarawak mengisytiharkan kemerdekaannya dari Persekutuan Malaysia dan orang ramai bersorak gembira. Kita sememangnya memiliki lagu kebangsaan sendiri dan bendera sendiri, tetapi kenapa kita masih seolah-olah dibawah naungan Malaya? Kenapa kita memerlukan seseorang dari seberang laut untuk menentukan masa depan dan nasib kita? Itu yang saya tidak faham. Ideologi kita sememangnya agak berbeza dengan ideologi Malaya.

Wahai anak-anak Sarawak, sekiranya anda menggelarkan diri sendiri anak Sarawak, marilah kita bangun memperjuangkan hak-hak kita. Sudah cukup kita dipinggirkan dan ditindas oleh pihak itu! Sudah cukup kita menurut perintah orang lain! Sudah cukup! Marilah kita anak-anak Sarawak, disini negara kita; di sini tanah tumpah darah kita; di sini kampung halaman kita; di sini masa depan kita, masa depan anak-anak dan cucu-cicit kita. Jangan melarikan diri dari kenyataan dan membutakan hati anda! Kita mampu lakukannya! Ya! Kita Boleh Ubah! Bersatulah rakyat Sarawak! Sama-samalah kita membentuk sebuah republik yang maju jaya dan kuat. Semoga Tuhan merahmati kita semua. Sekian, terima kasih.

                                                                                                
                                                                                             

0 comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...