"Persepsi Semenanjung menjajah Sabah dan Sarawak perlu dihapuskan dengan seberapa segera kerana selagi ia terus wujud, potensi untuk Borneo menjadi Balkan di timur jauh terus ada"
Badrul A Bakar, Pensyarah, UiTM Kedah
Badrul A Bakar, Pensyarah, UiTM Kedah
________________________________________________________________________
Hanya persepsi atau Kenyataan?
Hanya persepsi atau Kenyataan?
1) Persepsi kah itu kalau Malaya menggangkut 95% kekayaan minyak dan gas negara Sabah dan Sarawak?
2) Persepsi kah itu kalau dari Budget keseluruhan Malaysia RM 264 billion yg di berikan kpd kedua-dua negara Sabah dan Sarawak adalah kurang dari 1%?
3) Persepsi kah itu kalau negara Sabah dan Sarawak dulu rakan kongsi sama taraf dengan Malaya dlm pembentukkan Persekutuan Malaysia, sekarang adalah negeri2 ke 12 dan ke 13 Malayasia?
4) Persepsi kah itu jika kedua negara Sabah dan Sarawak kedua negara yg tersangat kaya dengan khazanah buminya adalah yg termundur dan termiskin di Malaysia?
5) Persepsi kah itu 2 negara yg tidak menjadi bahagian Persekutuan Malaysia iaitu Singapura dan Brunei adalah negara yg terkaya bukan sahaja di rantau Asia tetapi juga di dunia?
Lourance Liwin Kicie, Generasi Muda Negara Sabah
Badrul A Bakar yang merupakan seorang pensyarah di sebuah Universiti awam di UiTM Kedah telah membuat satu artikel yang bertajuk Borneo Balkan di Timur yang membawa maksud "Borneo" merujuk kepada Negara Sabah dan Negara Sarawak dalam konteks artikel ini dan "Balkan" pula merupakan nama yang digunakan untuk satu kawasan yang bersejarah dan secara geografinya ia terletak di rantau Tenggara Eropah. Apabila disimpulkan, ia membawa maksud "Borneo Kawasan yang bersejarah di Timur".
Dalam artikel pensyarah tersebut, ia telah mengupas sedikit sebanyak mengenai isu-isu yang telah berlaku di negara luar mempunyai persamaan dengan apa yag sedang berlaku di asia tenggara dan ini memungkinkan perkara yang sama akan bakal berlaku di asia iaitu di "Negara Persekutuan Malaysia".
Terdapat kebenaran akan kata-katanya walau bagaimanapun terdapat perkara yang diketengahkan olehnya itu dapat dibidas. Perkara yang dimaksudkan adalah seperti petikan diatas yang mana beliau telah mengatakan bahawa;
"Persepsi Semenanjung menjajah Sabah dan Sarawak perlu DIHAPUSKAN dengan seberapa segera kerana selagi ia terus wujud, potensi untuk Borneo menjadi Balkan di timur jauh terus ada"
Anak muda Negara Sabah dengan lantasnya menangkis kenyataan tersebut dengan persoalan-persoalan yang membuatkan lidah pensyarah tersebut kelu dan akan berusaha sedaya upaya untuk berdolak-dalik akan kebenaran ini.
Untuk itu, semua para pembaca blog ini dimohon untuk membaca artikel dibawah ini yang mana ini merupakan pandangan daripada seorang pensyarah malaya yang sedang mengajar di universiti awam, UiTM Kedah, malaya.
Pada pandangan UVSB, inilah realiti yang berlaku. Pihak seberang akan berusaha untuk menangkis kebenaran yang telah berlaku dan cuba untuk menutupi kudis dan nana yang sudah berbau busuk. Perkara ini BUKAN berlaku pertama kali tetapi sejak diawal pembentukkan "Persekutuan Malaya" lagi mereka sentiasa berdolak dalik, berjanji terang bulan bak kata pepatah mengatakan "Lidah tidak bertulang" untuk memperbodohkan minda dan pemikiran Bangsa Borneo iaitu Bangsa Negara Sabah dan Negara Sarawak. Kenyataan ini bukan berupa hasutan tetapi adalah lebih untuk mempertahankan kebenaran yang sentiasa dinafikan dan dilabelkan sebagai "Menghasut!"
Menghasutkah kalau mengatakan KEBENARAN?
Menghasutkah kalau mendidik bangsa akan Penipuan yang kerajaan malaya/malaysia telah lakukan?
Menghasutkah kalau ingin memimpin Bangsa Negara Sabah dan Negara Sarawak untuk menuntut Hak Mutlak sebagai sebuah Negara yang Merdeka dan Berdaulat seperti yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia yang telah ditandatangani di London pada 9 Julai 1963?
Sila fikirkan...
Luke Rintod menulis sebuah artikel berjudul "Taib dikagumi kerana berani bersuara" yang disiarkan di akhbar internet Free Malaysia Today pada 13 November 2013.
Tajuk artikel ini memang sangat mengujakan. Di waktu populariti Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang semakin merudum, artikel sebegini dengan mudah meraih perhatian.
Artikel tersebut ditemui di dinding salah seorang teman Facebook yang berasal dari Sarawak. Media sosial sesungguhnya memang mengubah gaya hidup kita secara luar biasa dan luar jangka. Yang jauh menjadi dekat, yang luas menjadi sempit. Ia merevolusi cara kita berkongsi maklumat. Nah, maklumat tidak perlu lagi dicari, ia tiba dengan sendiri. Itulah magis yang dibawakan oleh teknologi internet Web 2.0 yang menyediakan tapak kepada media sosial yang didakwa telah menjadi perkakas terpenting kepada kemunculan pelbagai fenomena besar dunia akhir-akhir ini seperti Arab Spring.
Apa yang menjadi fokus esei pendek ini bukan tentang media sosial, tetapi menyentuh sedikit tentang polemik nasional yang tidak berkesudahan di Malaysia iaitu kalimah Allah. Ingin digunakan istilah perdebatan, tetapi kerana ia masih jauh daripada membudaya, maka istilah wacana menjadi pilihan. Wacana dasar ialah sama ada istilah Allah perlu jadi eksklusif atau inklusif. Walaupun tanpa sebarang perdebatan, topik ini berterusan disosekkan di sana sini terutamanya di media sosial, maka tidak mampu dinafikan ia adalah isu nasional.
Sedar atau tidak isu ini menjadi gugatan kepada keutuhan amalan federalisme di Malaysia. Ramai khayalak yang mendakwa diri sebagai pakar ilmu politik dan pentadbiran awam menyatakan Malaysia mengamalkan federalisme terpusat (centralized federation). Walaupun kerajaan persekutuan dan 13 lagi kerajaan negeri sama-sama berdaulat tetapi autoriti keterlaluan menumpu di Putrajaya. Kerana itu dalam konteks persaingan politik kepartian, setiap gabungan parti dikenalpasti berusaha sama ada merampas atau mempertahankan sedaya mungkin Putrajaya.
13 September 1963, Sabah, Sarawak dan 11 negeri Persekutuan Tanah Melayu (bersama-sama Singapura) membentuk negara baru yang dinamakan sebagai Malaysia. Sejak itu, Semenanjung dan dua lagi anggota baru persekutuan cuba diintegrasikan. Pelbagai cara dilakukan agar masyarakat yang didakwa terpolarisasi dapat mengintegrasi bagi tujuan mengkonstruksi sebuah bangsa baru bernama Malaysia. Sebagaimana hujah Hobsbawm, negara boleh melahirkan bangsa. Tidak semestinya bangsa mewujudkan negara.
Secara peribadi, negara Malaysia masih belum berupaya melahirkan sebuah bangsa Malaysia. Tidak keterlaluan jika Malaysia dikatakan sebagai negara pelbagai bangsa (multinational) dan bukannya negara pelbagai kaum (multiracial) atau negara pelbagai etnik (multiethnic). Jari boleh dituding kepada kepada amalan media dan pihak berautoriti yang masih menggunakan istilah bangsa apabila merujuk kepada kaum atau ras di Malaysia. Sesungguhnya, khalayak ini perlu diperjelaskan atau "dikursuskan" tentang definisi istilah seperti bangsa (nation), negara (state), negara-bangsa (nation-state), ras/kaum (race), etnik (ethnic). Khalayak perlu faham tentang konsep negara-bangsa yang berpegang kepada kerangka satu negara, dan satu bangsa. Maksudnya, dalam sebuah negara hanya ada satu bangsa. Namun, sebuah bangsa di dalamnya boleh ada pelbagai kaum, pelbagai ras, dan pelbagai agama.
Sebagai sebuah bangsa yang masih dalam proses konstruksi. Iaitu masih dalam peringkat menanam cerucuk, maka polemik kalimah Allah adalah sesuatu yang boleh menyebabkan projek pembinaan bangsa ini tergendala. Lebih ironi jika projek konstruksi ini ditinggalkan dan terbengkalai begitu sahaja. Ia adalah isu yang sangat menjengkelkan. Justeru, isu tersebut bukan hanya perlu diurusi dengan bijak, bahkan dengan jiwa yang besar.
Sejarah membuktikan kegagalan mengurusi isu agama dan atau sebarang isu yang boleh mencetuskan etno-nasionalisme boleh membawa kepada dekonstruksi bangsa. Terpecahnya Kesatuan Soviet kepada 15 buah republik merdeka pada 1991 membuktikan kegagalan konstruksi "Soviet Man". Selain kegagalan sistem komunisme/sosialisme, isu agama dan budaya mendasari hasrat setiap republik untuk merdeka dari Kesatuan Soviet. Begitu juga dengan perpecahan Persekutuan Yugoslavia. Tinggalan tragedi kegagalan pembentukan bangsa Slav Selatan tersebut berterusan impaknya sehingga kini. Terkini, usaha Kosovo yang bermajoriti etnik Albania yang Muslim untuk berpisah dari Serbia (Kristian Ortodoks) yang merupakan salah sebuah bekas republik Persekutuan Yugoslavia.
Tragedi kegagalan pembentukan bangsa sangat sinonim dengan rantau Balkan di tenggara Eropah. Persoalannya, adakah Borneo bakal mengikuti jejak rantau Balkan? Kemunculan negara baru di Eropah (terutama di Balkan) menjadi tren sejak kegagalan komunisme/sosialisme. Rantau Asia Tenggara tidak ketinggalan terutama selepas Krisis Kewangan Asia 1997.
Walaupun hanya Timor Leste satu-satunya negara baru yang muncul, potensi kemunculan negara baru di rantau sebelah sini tidak boleh dipandang sepi. Etno-nasionalisme Acheh tergencat kerana tsunami 2005 dan polisi desentralisasi Indonesia menerusi reformasi. Desentralisasi terbukti ampuh dalam mengekang cita-cita kemunculan negara baru oleh propinsi dalam Indonesia seperti Papua Barat (dahulu Irian Jaya), Maluku. Hasilnya Indonesia muncul sebagai sebuah negara unitari yang sarat elemen federalisme. Manakala agenda pembentukan Moroland yang merdeka di selatan Filipina juga dapat dikekang kerana pemberian autonomi oleh Manila dan usaha membaikpulih ekonomi yang berterusan. Patani yang merdeka di selatan Thai pula ada pasang surutnya.
Selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) pada 3 Mac, 2008, status Sabah dan Sarawak dalam Malaysia semakin dipersoalkan. Kedua-duanya menjadi simpanan tetap satu-satunya parti pemerintah di peringkat federal (sejak merdeka sehingga kini) iaitu Barisan Nasional (BN). Para pengundi di Sabah dan Sarawak memastikan sistem satu parti atau sistem parti hegemonik dalam politik Malaysia terus lestari. Parti pembangkang yang membentuk Pakatan Rakyat (PR) pula menjanjikan Sabah dan Sarawak yang lebih bebas berautonomi dan tatakelola yang baik. Dalam masa 5 tahun dari 2008 ke 2013, kedua-dua negeri ini diasak oleh parti dari Semenanjung sama ada kalangan koalisi pemerintah mahupun pembangkang.
Ternyata apa yang tidak disedari oleh khalayak di Semenanjung ialah budaya di Sabah dan Sarawak berbeza walaupun sudah 50 tahun kedua-duanya berada dalam Malaysia. Tanyakan pakar politik Sabah seperti Datuk Profesor Madya Mohammad Agus Yusoff dan pakar politik Sarawak Profesor Madya Dr Nidzam Sulaiman tentang uniknya politik dan budaya mereka. Toleransi dalam amalan beragama di kedua-dua negeri tersebut jauh berbeza berbanding di Semenanjung. Justeru, polemik kalimah Allah menjarakkan lagi Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak sudah sedia ada dipisahkan secara fizikal oleh Laut China Selatan.
Kini, perkara 20 sentiasa menjadi begitu sensitif kepada penduduk kedua-dua negeri ini. Polemik kalimah Allah pula menjadikan Perkara 20 semakin diperhatikan berikutan butiran pertama dalam 20 perkara tersebut menyebut tentang agama rasmi, iaitu walaupun Islam agama rasmi Malaysia, ia bukan agama rasmi di Sabah dan Sarawak.
Kegagalan ahli politik dan parti politik dari Semenanjung sama ada dari kalangan pemerintah mahupun pembangkang untuk menguruskan isu ini dengan tekad politik dan jiwa besar, hanya akan mengundang padah.
Menurut tesis Kebenturan Peradaban oleh Samuel P Huntington, kerana perbezaan agama, sebuah bangsa yang sama warna kulit, sama bahasa, sama budaya, dan menempuhi sejarah yang sama, mampu untuk berkonflik dan berpecah. Serbia yang Ortodoks, Croatia yang Katolik, dan Bosnia yang Islam membawa kepada konflik dan selanjutnya menjadikan Yugoslavia hanya wujud dalam buku sejarah dan peta lama.
Kalimah Allah mengundang dilema besar kepada semua aktor politik Malaysia. Dua parti utama yang dilihat paling berdilema ialah Umno dan PAS. Umno perlu menjaga hati parti komponen lain dalam BN. Terutamanya dari Sabah dan Sarawak. Umno perlu akur tentang realiti Sabah dan Sarawak sebagai simpanan tetap di kala pilihan raya umum. Namun, Umno perlu juga memikirkan pengundi tegar di kalangan orang Melayu di Semenanjung. Ketidaktegasan Umno boleh menyebabkan kaum ini berpaling tadah kepada PAS.
PAS yang menyedari hilang banyak undi Melayu semasa Pilihan Raya Umum ke-13 pada 5 Mei 2013 berada dalam dilema dalam menguruskan isu ini. Pendirian kalimah Allah itu eksklusif boleh menyebabkan PAS menjadi semakin terpencil dalam gabungan PR. Adakah parti ini sanggup membelakangkan pengundi bukan Islam dan pengundi Melayu urban yang kebanyakannya agak liberal?
Tetapi yang paling utama ialah memastikan keutuhan Malaysia sebagai sebuah persekutuan itu lebih penting. Memastikan Sabah dan Sarawak terus menjadi sebahagian daripada Malaysia perlu menjadi agenda setiap parti yang berjiwa besar dan berpolitik matang. Tanpa mengira sama ada parti tersebut sedang memerintah atau bakal menjadi sebahagian dariapada koalisi pemerintah. Ternyata pemenang kepada polemik ini ialah Taib Mahmud. Beliau dilihat vokal dan ikhlas mempertahankan tentang kebebasan beragama dan kebebasan menggunakan kalimah Allah di Sabah dan Sarawak.
Adakah Borneo bakal menjadi Balkan timur? Tragedi Sampit pada 1999 di Kalimantan Barat tidak dapat dijadikan hujah bahawa masyarakat Borneo adalah masyarakat di garis gelincirin atau fault line (Huntington). Yang bermaksud masyarakat yang tidak stabil kerana kepelbagaian terutama daripada sudut agama. Lagipun Kalimantan Barat tidak seperti Sabah dan Sarawak yang berada dalam Malaysia dan mempunyai budaya toleransi beragama yang luar biasa.
Maka, Semenanjung perlu berhati-hati dalam menguruskan isu yang terlalu sensitif ini. Persepsi Semenanjung menjajah Sabah dan Sarawak perlu dihapuskan dengan seberapa segera kerana selagi ia terus wujud, potensi untuk Borneo menjadi Balkan di timur jauh terus ada. – 15 November, 2013.
* Penulis ialah Pensyarah Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, UiTM Kedah.
0 comments :
Post a Comment