Thursday 21 November 2013

“POLITIK MENGABURI SEJARAH”

Kini kuasa politik dalam pemerintahan telah mengatasi segala. Sejarah kini telah dikotori oleh permainan ahli-ahli politik untuk mengaburi sejarah sebenar. Di mana kebenaran yang sebenar? Mahukah kita sebagai Generasi Muda hanya melihat sejarah kita yang sebenar terus disembunyikan dan dikotori oleh permainan ahli-ahli politik? Jawapannya hanya terletak pada diri kita sendiri? Mahukah pemikiran kita terus dijajah? Semenjak kita mula belajar sejarah daripada sekolah rendah sehinggalah sekolah menengah, tidak ada satu pun kita diberikan ilmu pengetahuan tentang sejarah Sabah dan Sarawak yang sebenar. 

Pernahkah kita didedahkan dengan sejarah Sabah yang berkaitan tentang peristiwa Double Six? Pernahkah kita di maklumkan tentang tarikh Kemerdekaan Negara Sabah dan Negara Sarawak yang sebenar? Saya percaya, jika sejarah ini telah didedahkan kepada kita terlebih awal lagi, pasti telah ramai golongan nasionalis yang muncul untuk membebaskan Negara kita Sabah dan Sarawak daripada terus dijajah. Akan tetapi selama ini kita hanya mengetahui tentang tarikh Kemerdekaan Malaysia. Inilah antara permainan ahli-ahli politik yang ingin menjajah Negara kita Sabah dan Negara Sarawak. Penulisan sejarah kini juga telah banyak yang diputar belitkan untuk mengaburi pandangan kita. Persoalannya sekarang adakah penulisan dalam sejarah kini berlandaskan fakta dan bukti sebenar ataupun berlandaskan untuk pemerintah (politik)?

Pernahkah anda terfikir seramai manakah orang asal Sabah dan Sarawak yang menjawat jawatan dalam pentadbiran di Malaysia kini? Jika dibandingkan dengan bangsa di malaya, jumlah orang asal Negara Sabah dan Negara Sarawak yang menjawat jawatan dalam pentadbiran di "Persekutuan Malaysia" sangatlah kurang. Tahukah anda mengapa ini berlaku? Memang tidak dinafikan masih terdapat orang asal Negara Sabah dan Negara Sarawak yang menjawat jawatan, tetapi disini saya percaya bahawa ini adalah salah satu cara untuk mengaburi pandangan kita agar terus di tipu dan diperbodohkan.

Cuba anda berfikir sejenak dan bertanya kepada diri anda sendiri, mengapa ini semuanya berlaku? Inilah yang dikatakan “Power of Government”. Adakah anda ingin melihat Negara kita Sabah dan Sarawak terus ditindas? Kini telah tiba masanya kita sebagai rakyat Sabah dan Sarawak bangkit untuk mendapatkan semula hak kita. Bangkit bukanlah hanya dengan melontarkan suara-suara yang lantang sahaja, tetapi juga bangkit dengan cara bertindak melakukan pembebasan terhadap Negara kita yang telah dijajah sekian lama.






0 comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...