We Rise Together To Protect Our Beloved Country

We will protect our Country, Sabah!We will not let outsider to manipulate our life in Borneo! Sabah for Sabahan! Sarawak for Sarawakian!

Showing posts with label Azroy. Show all posts
Showing posts with label Azroy. Show all posts

Wednesday, 13 August 2014

Salleh PROKSI malaya yang melaksanakan agenda malaya di Negara Sabah melalui parti umno-bn

Sebagai anak muda Sabah saya berasa terpanggil untuk memberikan sedikit respon mengenai kecaman dan amukan beberapa pemimpin UMNO Sabah berkaitan kenyataan YB Datuk Dr. Jeffrey Kitingan mengenai 16 September iaitu Hari Malaysia.

Menurut terjemahan Bahasa Melayu daripada artikel Dr Jeffrey dalam Bahasa Inggeris, Occupation Day dimaksudkan sebagai Hari Penjajahan. Saya yakin dan percaya bahawa maksud daripada istilah Occupation tidak membawa maksud secara langsung sebagai penjajahan. Ia lebih merujuk kepada makna pengambialihan.

Walau bagaimanapun, terjemahan media berbahasa Melayu menyebutkan secara jelas sebagai Hari Penjajahan yang menyebabkan Datuk Salleh Said melenting sehingga mengeluarkan perkataan biadap yang pada saya sangat keterlaluan untuk diucapkan oleh seorang pemimpin lama seperti beliau. Seorang pemimpin haruslah sentiasa tenang dan berhemah dalam mengeluarkan ucapan.

Saya memberi respon kali ini bukan kerana saya ahli STAR pimpinan Dr Jeffrey. Namun saya ingin menyatakan pandangan sebagai anak jati Sabah. Beberapa tahun sebelum ini, 16 September hanya disambut sebagai Harijadi TYT. Bahkan pada zaman penggiliran Ketua Menteri yang sepatutnya tidak boleh dilaksanakan kerana ia tidak selari dengan konsep demokrasi, malah di luar batas Perlembagaan Malaysia mahupun Perlembagaan Sabah. Anehnya salah satu Ketua Menteri dalam sistem penggiliran ini ialah Datuk Salleh Said sendiri. Sedarkah beliau semasa pimpinan beliau, Hari Malaysia tidak pernah diraikan? Jadi saya tidak fikir beliau layak memberi komen berkaitan Hari Malaysia kerana sebagai pemimpin nombor satu Sabah ketika itu, tiada apa yang beliau perjuangkan untuk Sabah.

Saya juga tidak memahami alur pemikiran Datuk Salleh yang mengatakan bahawa 31 Ogos 1957 ialah permulaan Kemerdekaan Malaysia sedangkan pada waktu itu, Malaysia belum pun wujud. Bahkan lebih tepat lagi Malaysia tidak pernah pun merdeka kerana Malaysia tidak pernah dijajah. Hanya Malaya, Singapura, Sabah dan Sarawak sebagai negara-negara yang akhirnya membentuk Malaysia sahaja yang pernah dijajah dan sudah tentunya pernah merdeka. Agak lucu juga saya membaca kenyataan beliau yang mengambil contoh Amerika Syarikat. Sedangkan keadaannya jauh berbeza. Ketika Hawaii menyertai Amerika Syarikat, nama Amerika Syarikat sebagai sebuah negara merdeka sudah pun wujud dan diterimapakai secara kukuh. Jika Hawaii tidak menyertai Amerika Syarikat, Amerika Syarikat tetap berdiri sebagai sebuah negara. Sedangkan pada 31 Ogos 1957, jelas merupakan Hari Kemerdekaan Tanah Melayu dan bukannya Malaysia. Malaysia hanya wujud ketika persetujuan penggabungan. Jika Sabah, Sarawak dan Singapura tidak menandatangani Perjanjian Malaysia sudah pasti nama Malaysia tidak akan pernah wujud di peta dunia sehingga kini.

Saya ingin mengajak Datuk Salleh dan semua pemimpin serta penyokong UMNO yang berada di Sabah. Mari kita renungkan sejenak dan buatlah perbandingan secara ilmiah dan bukannya emosi semata-mata. Jika kita marah apabila disebutkan perkataan penjajahan, cuba kita nilaikan kedudukan Sabah ketika ini apakah dengan bergabung dalam Malaysia kita menjadi semakin baik atau sebaliknya. Sebagai perbandingan pertama, pada tahun 2010, Bank Dunia mengeluarkan senarai 10 negara terkaya dunia yang mana dua daripada negara tersebut adalah negara-negara yang bersama atau hampir bersama-sama membentuk Malaysia iaitu Singapura pada kedudukan ketiga dan Brunei pada kedudukan kelima. Ironinya, pada tahun yang sama Sabah diiktiraf pula oleh badan dunia yang sama sebagai negeri termiskin di Malaysia. Bayangkan betapa miskinnya Sabah kerana Malaysia pun tidak tersenarai langsung sebagai 10 negara terkaya dunia. Bermakna Malaysia antara negara yang tidak kaya atau bahasa mudahnya negara miskin. Lebih menyedihkan dalam negara miskin itu terdapat pula negeri yang lebih miskin iaitu Sabah. Di mana silapnya penggabungan ini? Penggabungan yang sepatutnya memberi harapan baru kepada rakyat Sabah.

Sedangkan Sabah antara negeri pengeluar minyak yang terbesar di Malaysia. Sejak kewujudan Petronas, Malaysia telah mengaut RM431 Bilion dan lebih kurang 35% hasil itu datangnya daripada sumber minyak Sabah. Sayangnya kerana penggabungan Malaysia Sabah cuma mendapat 5% bayaran tunai daripada keseluruhan hasil minyak Sabah. Pemimpin menjustifikasikan keadaan ini dengan mengatakan bahawa Sabah diberikan pelbagai bentuk bantuan lain berupa peruntukan daripada kerajaan persekutuan. Jika ini benar, mengapa Sabah jadi negeri termiskin? Mengapa jurang pembangunan amat jauh ketara antara Sabah dan Semenanjung Malaysia? Ketika rakyat Malaysia di Semenanjung bermegah dengan LRT, Komuter, Monorel dan sebagainya, anak Malaysia di Sabah masih dengan keretapi zaman penjajahan British. Ketika anak Malaysia di Semenanjung bergembira dengan keindahan dan keluasan lebuhraya, anak Malaysia di Sabah masih bergelumang lumpur di jalanan, bahkan dengan jalan utama bertar juga berlubang di sana sini. Ketika anak Malaysia di Semenanjung Malaysia bergembira di taman-taman tema yang canggih dan indah, anak Malaysia di Sabah masih ternanti-nanti kehadiran FUN FAIR. Inikah Malaysia yang pemimpin Sabah terdahulu impikan?

Selain itu, Sabah dengan keluasan 71,613 km persegi yang dilimpahi nikmat kesuburan tanah dan cuaca yang baik, agak menghairankan kita tidak berjaya meningkatkan kekayaan anak Sabah yang hanya 3.2 juta populasi. Ataukah kerana dengan Malaysia, memberi justifikasi kepada FELDA untuk menguruskan 590,824 ekar tanah Sabah dan hanya memberikan sewaan kepada Kerajaan Sabah sedangkan Kerajaan Sabah kehilangan hak untuk menguruskan tanah itu agar hasilnya, 100% untuk rakyat Sabah agar rakyat Sabah khusunya anak-anak muda tidak perlu lagi menjadi kuli di Singapura, Brunei bahkan di Tanah Melayu sendiri?

Sehingga hari ini, kuasa Ketua Menteri Sabah juga kita ragui kerana sebagai ahli parti yang memerintah Kerajaan Persekutuan, pastinya Ketua Menteri Sabah tidak boleh lari daripada konsep konflik kepentingan antara menjaga hak Sabah dan menjaga jawatan dan kedudukan dalam parti dan kerusi pentadbiran. Adakah ini juga antara impian pemimpin terdahulu untuk melihat pemimpin utama Sabah sekadar boneka? Ketua Menteri juga bersetuju bahawa Malaya antara entiti yang membentuk Malaysia. Di manakah sudah Malaya kini?

Nah, kepada Datuk Abdul Rahim Ismail, jangan tanya siapa Dr Jeffrey tetapi tanyalah kepada semua anak Sabah yang memahami hakikat keadaan Sabah kini, jauh di lubuk hati mereka, apakah Sabah megah dan hebat dalam Malaysia? 

Semoga beberapa contoh perbandingan yang saya sebutkan di atas mampu membuka minda dan pemikiran kita. Saya boleh berikan lebih banyak contoh lain tetapi lebih baik sekiranya Datuk Salleh Said dan Datuk Abdul Rahim tentukan tempat pertemuan, jika lebih baik disebutkan sebagai dialog terbuka, saya pasti tidak akan ragu-ragu untuk hadir. Saya mungkin sangat muda dan kelihatan enteng, tetapi zaman ini anak muda bukan lagi anak muda pak turut yang hanya mengangguk atau menggeleng. Tetapi zaman ini zaman teknologi maklumat. Banyak perkara didominasi oleh kuasa maklumat. Tidak semudah itu untuk membohongi kita lagi seperti waktu-waktu yang sudah.

Selepas perbandingan yang saya buat ini, jika perkataan Hari Penjajahan itu kedengaran amat ekstrim, kita ertikanlah Occupation Day itu sebagai Hari Pengambilalihan hak Sabah. Sama-sama kita mencari jawapan, apakah Malaysia ini sekadar untuk menjustifikasikan pengambilalihan sumber minyak Sabah? Apakah Malaysia ini sekadar untuk memberikan ruang kepada Persekutuan membuka tanah-tanah di Sabah? Atau melalui kebenaran khas Datuk Harris Salleh maka Sabah kehilangan hak terhadap Labuan yang juga dilimpahi sumber kekayaan minyak? Jika begitu walau apa pun istilah yang kita gunakan ia sebenanrnya membawa makna yang hampir sama. Mungkin juga menghampiri kebenaran kata-kata Bung Karno yang pernah mengatakan pentadbiran kolonial ini hanya dipindahkan dari London ke Kuala Lumpur. 

Namun begitu, sebagai rakyat Malaysia kita tentunya sayangkan Malaysia yang sudah pun berusia setengah kurun. Jika ada pemimpin yang tidak senang dengan istilah penjajahan, maka kembalikan hak Sabah yang sepatutnya, khusunya kuasa pemerintahan dengan autoriti nyata tanpa konflik kepentingan dan juga kuasa mengurus hasil bumi serta kewangan sendiri. Hanya inilah kunci untuk kita selamatkan Malaysia kerana Malaysia hari ini tentunya bukan Malaysia yang diimpikan pemimpin terdahulu khusunya pemimpin yang terlibat dalam Tragedi Double Six. Apa sahaja sistem yang kelihatan lebih kepada proses pengambilalihan, maka itulah punca kepada wujudnya perkataan penjajahan ini. Jadi jangan salahkan penggunaan istilah ini tetapi sama-sama kita fikirkan mengapa istilah ini terluah akhirnya.

Source: Hasmin Azroy Abdullah

Sunday, 23 March 2014

"Apabila Kesedaran MENUNTUT TINDAKAN..."

Aku terpanggil untuk menghasilkan Karya ini, bukan untuk mengejar Hadiah mahupun "Glamor". Apa yang di Hasilkan Ini adalah atas kesedaran yang Kita Rakyat Bangsa Borneo mesti mengorak Langkah lebih jauh ke dalam Memperjuangkan Kemerdekaan ini. Zahir dan Batinnya...

   Kemerdekaan bukannya Mesti dilaungankan serta di perlihatkan secara Zahir sahaja, tidak perlulah berteriak seumpama orang Gila di Jalan-jalan raya. Pelancaran Bunga-Bunga api mahupun Sepanduk-sepanduk menghiasi dinding-dinding Bangunan.

  Ia lebih manis jika sambutannya di adakan secara sederhana, Ikhlas namun masih meriah lambang, rasa syukur kita kerana Menjadi Bangsa yang bebas, Merdeka Lagi Berdaulat. 

  Bilakah Malaysia Merdeka..? Satu persoalan yang senang namun rumit untuk di jawabnya. Tanyalah mana-mana Cendiakawan serta sejarahwan Negara, pasti Jawapannya tentu kalian tahu sepertimana yang di catat dalam buku-buku sejarah di seluruh Malaysia. walhal ianya bukan sebegitu..

  Para Pejuang sekelian sungguh kita bergerak di Alam maya, pastikan terus mendidik Generasi kita akan Kebenaranya, Pasti setiap seorang dari kita punya Anak, adik, anak saudara mahupun Kaum kerabat yang masih di Bangku sekolah. Jangan Pernah Jemu !! Jangan Pernah Kesal dan mengeluh, ajar mereka bahawa Malaysia ini adalah Gabungan 4 buah Negara Merdeka lagi berdaulat lalu bersama membentuk sebuah Persekutuan yang kuat dan Bebas dari anasir-anasir luar perosak Bangsa.

  Ini Hakikatnya namun kini semua itu seakan tiada penting kini, dengan terang lagi bersuluh sebahagian pemimpin-pemimpin Borneo sendiri yang menolak Konsep asal Persekutuan lantaran memandang tinggi akan Jawatan duniawi. Maka akibatnya Rakyat Sabah dan Serawak sendiri yang merana lebih 50 tahun Lamanya. 

  Wahai anak Borneo, jika kini anda berumur 18 tahun, maka pastikan 18 tahun yang mendatang kita punyai kekuatan dalam perjuangan ini. Tidak mustahil 18 tahun itu Sabahaan punya cukup kekuatan untuk menengelamkan penyokong-penyokong serta pemimpin timbangan yang rata-rata di usia pertengahan dan diambang senja kini.

  Jangan kita bersekongkol dan mengamalkan budaya politik dan sosial, yang pada pendapatku kala ini sedang menjadi soSIAL....  

  Maafkan diri ini jika terkasar bahasa dan kata, tapi ada kalanya menjadi sedih dan geram bilamana Isu-isu yang berbangkit ini telah menghilangkan norma-norma kebaikan seorang insan yang bergelar manusia.

  Aku seorang muslim, bohong jika aku tidak terasa, bila ada segelintir manusia mengata macam-macam terhadap agama anutanku ISLAM, juga aku juga terasa terpanggil bilamana ada juga segelintir dari ekstrimis Islam yang kononnya memperjuangkan Agama, namun tidak mengamalkan Tatacara beragama yang sepatutnya iaitu Bersederhana....

  Sedih cukup sedih di media sosial serta arus perdana, perbalahan ini tertonjol dan di tonjolkan hingga memperlihatkan perpecahan sesama kita.

  Para batu-batu api inilah perosak bangsa, maka masih merdekakah kita di Tanah Sabah dan Sarawak !!!

  Jangan kita terpengaruh dengan tiupan perkauman dan Agama yang murah ini.

  Merdekakan diri, minda serta Ekonomi kita. Emmmm.... Kenapa pula ekonomi, kerana melalui ekonomilah kita mampu membebaskan diri dari belenggu penjajahan dan kehinaan ini.

  Wahai Anak Asal Borneo. Pertahankan jati dirimu, Jangan pernah takut untuk melakukan perkara baru yang boleh menguntungkan bukan sahaja diri tapi, teruskan berjuang, pastikan seluruh masyarakat juga merasakannya ...


  Akhir kata, Panglima harap para pemuda dan pemudi SS, mampu mengungkai tali kekusutan serta dapat mendalami inti pati perjuangan kita agar, kita tidak menjadi bahan ejekan dan cemuhan generasi mendatang.... 

Insyaallah diri ini akan terus mencoretkan sesuatu di ruangan ini... Tidak kiralah ada pertandingan mahupun tidak..  Kerana ia telah ku anggap sebagai satu kewajipanku sebagai seorang Anak Borneo.... :)

Peserta untuk Borneo Awareness Campaign yang Ke-8 yang berasal daripada Labuan, Negara Sabah ini bernama En.Mazlan Bin Hamidon telah memberikan satu pandangan yang JUJUR tentang mengapa KESEDARAN itu penting. Melalui nasihatnya ini memberikan satu pedoman bagi Generasi Muda Negara Sabah.

Sila berikan sokongan anda kepada artikel beliau ini dengan kongsikan dalam Facebook, twitter, blog anda. Biarlah mesej ini dapat sampai kepada semua Generasi Muda Negara Sabah yang masih lena, leka dan lalai akan TANGGUNGJAWAB mereka untuk BERJUANG untuk MEMPERTAHANKAN HAK BERSAMA DI NEGARA SABAH INI... Tanah Tumpah Darah Yang Tercinta ini...

Wednesday, 12 February 2014

Selepas Setahun Kes Pencerobohan Tanduo Lahad Datu

Ironi 1.

Kes pencerobohan di Lahad Datu oleh pengganas atau pun mahu dikenali sebagai Angkatan Keselamatan Diraja Kesultanan Sulu genap setahun hari ini. Kampung yang terlibat kini kosong dan hanya tinggal sisa runtuhan rumah. Ada juga cerita gembira apabila penduduk yang dipindahkan menerima bantuan berupa rumah baru dan juga wang ringgit.

Namun apa yang lebih penting untuk kita sedar ialah, apakah cerita yang hampir dilupakan ini sekadar sebuah kenangan pahit tanpa ada inisiatif terbaik untuk menjadikan kes ini suatu iktibar dan mencari jalan penyelesaian?

Mengimbas peristiwa sebelum serangan berlaku atau lebih tepatnya pada 15 Oktober 2012, satu perjanjian damai yang dinamai Perjanjian Rangkakerja Mengenai Bangsamoro antara kerajaan Filipina dengan sebuah pertubuhan pembebasan Mindanao iaitu Moro Islamic Liberation Front (MILF) yang diketuai oleh Al Haj Murad Ibrahim telah ditandatangani di Manila yang menyaksikan kehadiran wakil Malaysia iaitu Tengku Dato' Abg Ghafar bin Tengku Mohamed sebagai saksi utama. Bahkan Dato Sri Najib Tun Razak iaitu Perdana menteri Malaysia turut hadir bersama dengan Benigno Simeon Aquino III, Presiden Filipina.

Apa yang menghairankan ialah perjanjian ini dibuat oleh satu pertubuhan pembebasan Mindanao yang lebih 'junior' atau serpihan  daripada sebuah lagi pertubuhan dengan misi yang hampir sama iaitu Moro National Liberation Front (MNLF) pimpinan Nur Misuari. Mengapakah bukan Nur Misuari yang dibawa dalam perundingan itu? Sedangkan selepas insiden pencerobohan itu, suara paling lantang kedengaran adalah daripada pihak MNLF iaitu Nur Misuari sendiri dan bukannya MILF. Lebih daripada itu ialah apakah kepentingan Malaysia menjadi orang tengah perjanjian itu yang pada akhirnya hanya membawa kepada pencerobohan Lahad Datu pada 11 febuari 2013? Sejurus selepas bermula insiden itu ada pula pendedahan media Filipina (mb.com.ph) yang mengatakan bahawa DS Najib menjanjikan tanah kepada warga Sulu. 

Semua peristiwa ini membayangkan kemungkinan yang nyata bahawa insiden ini kelihatan 'dalam kawalan' pemain politik peringkat tertinggi menjelang pilihanraya umum Malaysia ke 13 untuk mengalihkan perhatian daripada isu nasional yang mungkin memberi impak buruk kepada parti yang sedang berkuasa seperti prosiding Suruhanjaya Diraja Menyiasat Pendatang Asing yang merupakan isu paling hangat di Sabah. Begitu juga dengan isu korupsi dan ketirisan dalam perbelanjaan negara. Akhirnya selepas selesai isu Tanduo, kerajaan Barisan Nasional bangga mendabik dada bahawa hanya mereka mampu memastikan keselamatan untuk Sabah. Semua orang terlupa tentang kes pendatang asing dan segala macam kepincangan kerajaan.

Ironi 2.

Sepatutnya kerajaan Sabah pimpinan Barisan Nasional mengambil langkah tegas untuk memastikan keselamatan wilayah Sabah ini benar-benar terjamin. Tidak hanya dengan mengharapkan zon keselamatan yang diletakkan di bawah tadbir urus ESSZONE yang jelas longgar berikutan berlaku beberapa kes melibatkan penculikan di perairan walaupun sesudah ESSZONE diaktifkan.

Persoalan utama bukan soal jaga wilayah semata-mata tetapi menjaga sistem kewarganegaraan yang amat longgar. Seringkali kita dimomokkan bahawa keberadaan ramai pendatang asing ini bukan kerana salah kerajaan tetapi kerana secara Geografi dan Sejarahnya mereka telah berada di bumi Sabah begitu lama. Namun sampai bilakah jawapan helah bela diri ini terus kita terima tanpa penyelesaian nyata?
Berbangkit soal sejarah, khususnya berkaitan dengan tuntutan Sulu terhadap Sabah, kita tidak mahu mengulas panjang soal Pajakan 1878 atau pun Protokol Madrid 1885 bahkan Perjanjian Carpenter 1915. Bercakap soal ini kita akan berbahas panjang soal 'istilah perundangan' apatah lagi menterjemah isi perjanjian-perjanjian lama.

Namun apa yang jelas, Sabah bukan lagi Borneo Utara. Kesultanan Sulu juga hampir boleh dikatakan tidak wujud lagi secara rasmi dengan sebuah pemerintahan yang berkuasa. Hanya sekadar sebuah penghormatan tradisi. Begitu juga warga Sulu sendiri juga tidak dapat memastikan waris sebenar kesultanan ini. Malah wang pajakan yang diberikan kepada waris kesultanan ini juga bukan lagi kepada kerabat Pewaris Kedua yang sepatutnya penyambung kesultanan ini selepas Pewaris Pertama 'dimansuhkan' kuasa dengan rela melalui Perjanjian Carpenter.

Maka Kerajaan Malaysia seharusnya mempunyai asas yang kukuh untuk membatalkan pajakan tersebut dan menukarkannya dalam bentuk pampasan agar 'sangkut paut' cerita lama ini segera berakhir. Ini kerana Kerajaan Filipina juga tidak mempunyai hak mutlak menuntut Sabah kerana mereka tidak dapt membuktikan bahawa wilayah jajahan Sulu telah menjadi milik Kerajaan Filipina. Namun ironinya mengapa Sabahan terus dibiarkan 'bergantung' kepada 'pemerintah' demi harga sebuah keselamatan dan keamanan yang dijadikan bahan 'tarik tali' dalam percaturan politik? Hal negara lain, mendabik dada dianggap orang tengah yang baik dalam rundingan tetapi negara sendiri dibiarkan tanpa pembelaan konkrit.

Ini perlu dibuat segera agar kita dapat menyusun atur warganegara kita dengan lebih baik tanpa prasangka. Dalam laporan Commission of Inquiry 1962, Sulu merupakan salah satu bangsa yang dalam kelompok orang asal. Ini adalah fakta namun, kita harus tegas, Sulu orang asal ini haruslah yang telah menetap di Borneo Utara dan bukannya yang baru sampai dari Mindanao. Kita sudah ada persempadanan Geografi wilayah secara rasmi. Maka sebarang perubahan haruslah melalui tuntutan yang adil dan berasas.

Bahkan dengan ulasan Pengarah Jabatan Statistik Sabah Norezan Wahid yang berkata sejumlah 889,000 orang asing dari 3.2 juta penduduk Sabah, atau 28 peratus, berdasarkan bancian tahun 2010. Ini sesuatu yang harus diambil perhatian. Jumlah populasi yang diambil pada 15 Jun 1960 menyatakan Melayu dalam kelompok LAIN-LAIN hanya berjumlah 1645 orang namun kini Melayu di Sabah sudah disamatarafkan keistimewaannya dengan orang asal Sabah bahkan lebih ramai daripada Murut walaupun pada tahun 1960 Murut merupakan satu kumpulan etnik ketiga terbesar dengan jumlah 22,138 di belakang Bajau dan Dusun. Persoalannya siapakah Melayu itu? Projek IC?

Manakala jika kita melihat unsur keselamatan ini dari segi kekuatan logistik dan ketenteraan, Sabah dan Sarawak yang jauh lebih luas daripada Semenanjung Malaysia ini hanya mempunyai bilangan markas atau kem tentera yang sedikit berbanding Semenanjung Malaysia. Bahkan dalam isu pencerobohan Tanduo, 3 buah pesawat pejuang F/A-18 Hornet dan 5 Hawk dioperasikan dari Labuan selepas diterbangkan dari Semenanjung Malaysia. Apakah Sabah tidak mampu mengoperasikan jet pejuang sendiri? Bukankah pemimpin Sabah ketika menandatangani Perjanjian Malaysia dulu dipengaruhi oleh faktor keselamatan yang dijanjikan?

Kesimpulannya, selagi isu kewarganegaraan tidak diselesaikan dan hak pentadbiran tidak diberikan secara autonomi kepada Kerajaan Sabah, sehebat manapun kita menjaga wilayah persempadanan, ia pasti akan kembali kepada titik mula permasalahan yang tidak berkesudahan.

Hasmin Azroy Abdullah,
Penasihat UVSB.

Wednesday, 30 October 2013

Ulasan Bajet 2014 Daripada Perspektif Anak Muda Negara Sabah

Hasmin Azroy Abdullah
Assalamualaikum dan Salam Perpaduan...

Ada rakan meminta saya memberikan ulasan dan buah fikir berkenaan Bajet 2014 yang baru dibentangkan minggu lalu. Sebenarnya, sebagai orang yang tidak mempunyai latar belakang ekonomi (sekadar mengambil subjek ekonomi sewaktu Tingkatan 6), saya cuma ingin memahaminya dengan lebih baik melalui pembacaan dan pemahaman istilah-istilah ekonomi yang digunakan. Memberi ulasan pula sudah pasti sekadar ulasan umum tanpa sokongan fakta teknikal yang mantap. Namun setiap daripada rakyat Malaysia wajar memahami skop perbelanjaan kerajaan kerana itu merupakan hak rakyat. Ia tidak boleh dipandang mudah tetapi harus diusahakan untuk memahaminya sekalipun pada tahap minima.

Saya melihat bajet kali ini berdasarkan dua unsur iaitu : Unsur Janji Ditepati dan Unsur Keseimbangan.

Unsur Janji Ditepati:
1. Soalan yang harus diutarakan ialah apakah Bajet 2014 melambangkan JANJI yang dilaung-laungkan oleh UMNO/BN sebelum PRU13 tertunai dengan wajar?

2. Saya melihat Bajet 2014 merupakan satu jawapan kepada penafian semua JANJI pemimpin UMNO/BN. Dengan kata lain JANJI TIDAK DITEPATI. 

3. Kebanyakan keputusan dibuat bukan untuk membantu mengurangkan beban rakyat tetapi lebih kepada usaha menyelamatkan kewangan negara yang nazak akibat hutang yang terlalu tinggi dan kian menghampiri aras siling keterhutangan negara. Hutang melebihi RM500 Billion ini bukan kerana pembangunan negara semata-mata tetapi ketirisan dan pembaziran dalam perbelanjaan kerajaan, termasuk isu Pusat FIDLOT Nasional (NFC) sehinggalah kepada belanja menjelang PRU13 seperti kajian Dr Bridget Whelsh sejak tahun 2009 yang menyatakan bahawa DS Najib membelanjakan hampir RM58 Bilion untuk tujuan itu. Apatah lagi jika kita meneliti Laporan Audit Negara 2012 yang jelas memaparkan kepincangan kerajaan dalam mengurus dana awam.

4. Hutang yang tinggi ini menyebabkan kerajaan tidak mempunyai ruang fiskal yang sepatutnya untuk berbelanja, sehingga memaksa Bajet DEFISIT selama 16 tahun berturut-turut yang sudah pasti memberi impak yang buruk terhadap perkembangan ekonomi negara khususnya sektor pelaburan, negara bakal kehilangan keyakinan pelabur.

5. Akibat ketirisan perbelanjaan ini maka rakyat terpaksa menanggung kesannya apabila subsidi sebanyak RM7.29 Bilion dimansuhkan dengan menyaksikan peningkatan harga minyak masak dan harga gula dengan alasan untuk mengurangkan risiko diabetes, satu alasan yang amat dangkal dan kurang ilmiah.

6. Lebih malang menanti pada 2015 dengan pengumuman pelaksanaan GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan) yang boleh disifatkan tergesa-gesa demi menyelamatkan ekonomi negara kerana tadbirurus yang kurang efisien. GST mungkin melegakan golongan kaya tetapi pasti meresahkan golongan sederhana dan miskin.

7. Pada dasarnya GST memberi kesan positif terhadap pengukuhan ekonomi negara kerana semua lapisan masyarakat tidak terkecuali untuk membayar cukai. Persoalannya, dalam keadaan pendapatan isi rumah masih relatif rendah, sudah pasti kuasa beli turut jatuh dan ia mengakibatkan kadar peratusan inflasi meningkat.

8. Sistem GST ini mempunyai mekanisme pengiraan yang rumit jika para pengusaha tidak memahaminya dengan baik.Sehingga ini sangat sedikit pengusaha terutama peniaga kecil dan sederhana (IKS) memahami implikasi dan cara mengendali perniagaan mereka berdasar sistem GST. Namun sebaliknya,pelaksanaan GST jika tidak diawasi dengan ketat akan diperalat dan dimanipulasikan oleh pengeluar, pengedar dan peruncit untuk menipu (profiteering).

9. GST boleh dikatakan sistem yang lebih 'bussiness friendly' namun strategi ini sebenarnya cuma memindahkan beban cukai golongan kaya kepada golongan sederhana yang jumlahnya lebih ramai.

10. Apa yang dikhuatirkan ialah wujudnya keadaan 'underground economy'. Sebuah sistem cukai adalah cekap apabila ia tidak menggangu sebarang keputusan dan perilaku ekonomi . Sebuah sistem cukai perlu diwujudkan yang dapat membendung aktiviti ekonomi tersembunyi. Jika tidak kerajaan akan hilang perolehan yang sepatutnya. (Itu rokok kaki lima, pusat perjudian haram, penyimpanan stok untuk mempengaruhi harga misalnya harus dihapuskan).

11. Pada ketika ini Malaysia sebagai sebuah negara membangun harus bersedia dari pelbagai aspek untuk mendepani GST, bahkan Kanada dan Australia sebagai sebuah negara maju juga mengalami keadaan yang agak tenat diawal pelaksanaan.Lebih penting lagi ialah apabila peningkatan perolehan yang didakwa akan didapati oleh kerajaan tidak pula diselaraskan dengan langkah-langkah membendung pembaziran dan penyelewangan , akan menjadikan GST bukan suatu sistem cukai yang bermanfaat malah mencetuskan musabah ekonomi yang lebih besar.

Unsur Keseimbangan :
1. Daripada RM264.2 bilion jumlah bajet yang dibentangkan,hanya RM2.049 billion dikongsi bersama Sabah dan Sarawak. Sedangkan peruntukan untuk Jabatan Perdana menteri sahaja pun mencecah RM16 Bilion. Anehnya, DS Musa Aman merakamkan terima kasih atas 'keprihatinan' kerajaan persekutuan dalam hal ini. Mungkin kita perlu belajar semula untuk memahami makna terima kasih dalam versi yang lebih wajar.

2. Bajet 2013 pun masih banyak yang belum dikecapi oleh rakyat Sabah, sedangkan 'keistimewaan' Sabah sebagai FIXED DEPOSIT tetap tidak dipandang 'mulia' dalam Bajet 2014. Sebagai negeri pengeluar minyak mentah dan kelapa sawit yang menyumbang pendapatan besar kepada negara, apakah Sabah hanya layak menerima tidak sampai 1% daripada bajet keseluruhan negara?

3. Lebih menyedihkan apabila golongan luar bandar Sabah terus disogokkan dengan bantuan tangki berbanding usaha untuk memperbaiki kemudahan air bersih terawat yang lebih baik. Sedangkan duit hasil Sabah mengalir kepada kerajaan persekutuan untuk memperhebat kemajuan di SM. Sudah tentu sekali lagi BR1M yang dinaikkan sebanyak RM150 dikatakan sebagai justifikasi untuk membantu golongan sederhana dan miskin. Satu lagi pembohongan yang nyata.

4. Bagaimana pula bantuan sekali setahun itu mampu mengimbangi kadar peningkatan kos yang ditanggung rakyat setiap hari seperti kenikan harga petrol, gula dan minyak masak? Semua item ini mempengaruhi pola perbelanjaan kehidupan secara keseluruhan. 

5. Sabah boleh diumpamakan seperti sudah jatuh ditimpa tangga. Hasil sendiri tidak dapat dinikmati malah dapat kek ekonomi paling kecil. Tetapi beban sara hidup yang dialami akibat pemansuhan subsidi 'dinikmati' secara sama rata oleh rakyat Sabah, Sarawak dan Semenanjung. Sengsara sama rata tetapi bahagia berbeza.

6. Malaysia Timur mengharapkan pemansuhan terus polisi kabotaj, tetapi diumpan dengan KR1M. Peniaga kecil pasti hilang daya saing, ekonomi pasti menguncup kerana sistem kembali kepada monopoli kerajaan.

7. Jika Sabah urus hasil sendiri, Sabah tidak sepatutnya terbeban dengan hutang kerajaan Malaysia kerana kelemahan tadbir urus kewangan kerajaan persekutuan. Malah Sabah sepatutnya berkemampuan dan tidak lagi perlu menunggu penarafan kemudahan internet secara berperingkat tetapi setanding dengan dengan kelajuan internet di Korea Selatan yang 14 kali lebih laju berbanding Malaysia.

Kesimpulannya, Bajet 2014 memperlihatkan JANJI TIDAK DITEPATI kerajaan UMNO/BN melalui tema memperteguh ketahanan ekonomi negara dengan memindahkan beban hutang fiskal negara untuk ditanggung oleh rakyat secara terang-terangan. Apa yang nyata, rakyat Sabah dan Sarawak, yang sepatutnya mewah dan kaya dengan hasil bumi terpaksa merelakan kekayaan itu untuk dikunyah dengan rakus oleh kerajaan persekutuan atas nama Malaysia. Mungkin inilah maksud TS Harris Salleh bahawa semua keputusannya dahulu demi kebaikan Malaysia. Beliau betul. Malaysia dapat kebaikannya kerana walapun kerajaan korupsi, ketirisan perbelanjaan dan pembaziran ketara namun masih mampu bertahan dengan hasil bumi daripada Sabah dan Sarawak. Sayangnya, apakah Sabah turut mendapat kebaikan daripada keputusan-keputusan yang beliau ambil itu? 

Jelas sekali, Bajet 2014 jauh daripada memenuhi hasrat sebagai 'equal partner' atau keseimbangan pembangunan ekonomi dan fizikal antara Negeri-negeri Borneo dan Persekutuan Tanah Melayu seperti yang dipersetujui dulu.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...