Hasmin Azroy Abdullah |
Assalamualaikum dan Salam Perpaduan...
Ada rakan meminta saya memberikan ulasan dan buah fikir berkenaan Bajet 2014 yang baru dibentangkan minggu lalu. Sebenarnya, sebagai orang yang tidak mempunyai latar belakang ekonomi (sekadar mengambil subjek ekonomi sewaktu Tingkatan 6), saya cuma ingin memahaminya dengan lebih baik melalui pembacaan dan pemahaman istilah-istilah ekonomi yang digunakan. Memberi ulasan pula sudah pasti sekadar ulasan umum tanpa sokongan fakta teknikal yang mantap. Namun setiap daripada rakyat Malaysia wajar memahami skop perbelanjaan kerajaan kerana itu merupakan hak rakyat. Ia tidak boleh dipandang mudah tetapi harus diusahakan untuk memahaminya sekalipun pada tahap minima.
Saya melihat bajet kali ini berdasarkan dua unsur iaitu : Unsur Janji Ditepati dan Unsur Keseimbangan.
Unsur Janji Ditepati:
1. Soalan yang harus diutarakan ialah apakah Bajet 2014 melambangkan JANJI yang dilaung-laungkan oleh UMNO/BN sebelum PRU13 tertunai dengan wajar?
2. Saya melihat Bajet 2014 merupakan satu jawapan kepada penafian semua JANJI pemimpin UMNO/BN. Dengan kata lain JANJI TIDAK DITEPATI.
3. Kebanyakan keputusan dibuat bukan untuk membantu mengurangkan beban rakyat tetapi lebih kepada usaha menyelamatkan kewangan negara yang nazak akibat hutang yang terlalu tinggi dan kian menghampiri aras siling keterhutangan negara. Hutang melebihi RM500 Billion ini bukan kerana pembangunan negara semata-mata tetapi ketirisan dan pembaziran dalam perbelanjaan kerajaan, termasuk isu Pusat FIDLOT Nasional (NFC) sehinggalah kepada belanja menjelang PRU13 seperti kajian Dr Bridget Whelsh sejak tahun 2009 yang menyatakan bahawa DS Najib membelanjakan hampir RM58 Bilion untuk tujuan itu. Apatah lagi jika kita meneliti Laporan Audit Negara 2012 yang jelas memaparkan kepincangan kerajaan dalam mengurus dana awam.
4. Hutang yang tinggi ini menyebabkan kerajaan tidak mempunyai ruang fiskal yang sepatutnya untuk berbelanja, sehingga memaksa Bajet DEFISIT selama 16 tahun berturut-turut yang sudah pasti memberi impak yang buruk terhadap perkembangan ekonomi negara khususnya sektor pelaburan, negara bakal kehilangan keyakinan pelabur.
5. Akibat ketirisan perbelanjaan ini maka rakyat terpaksa menanggung kesannya apabila subsidi sebanyak RM7.29 Bilion dimansuhkan dengan menyaksikan peningkatan harga minyak masak dan harga gula dengan alasan untuk mengurangkan risiko diabetes, satu alasan yang amat dangkal dan kurang ilmiah.
6. Lebih malang menanti pada 2015 dengan pengumuman pelaksanaan GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan) yang boleh disifatkan tergesa-gesa demi menyelamatkan ekonomi negara kerana tadbirurus yang kurang efisien. GST mungkin melegakan golongan kaya tetapi pasti meresahkan golongan sederhana dan miskin.
7. Pada dasarnya GST memberi kesan positif terhadap pengukuhan ekonomi negara kerana semua lapisan masyarakat tidak terkecuali untuk membayar cukai. Persoalannya, dalam keadaan pendapatan isi rumah masih relatif rendah, sudah pasti kuasa beli turut jatuh dan ia mengakibatkan kadar peratusan inflasi meningkat.
8. Sistem GST ini mempunyai mekanisme pengiraan yang rumit jika para pengusaha tidak memahaminya dengan baik.Sehingga ini sangat sedikit pengusaha terutama peniaga kecil dan sederhana (IKS) memahami implikasi dan cara mengendali perniagaan mereka berdasar sistem GST. Namun sebaliknya,pelaksanaan GST jika tidak diawasi dengan ketat akan diperalat dan dimanipulasikan oleh pengeluar, pengedar dan peruncit untuk menipu (profiteering).
9. GST boleh dikatakan sistem yang lebih 'bussiness friendly' namun strategi ini sebenarnya cuma memindahkan beban cukai golongan kaya kepada golongan sederhana yang jumlahnya lebih ramai.
10. Apa yang dikhuatirkan ialah wujudnya keadaan 'underground economy'. Sebuah sistem cukai adalah cekap apabila ia tidak menggangu sebarang keputusan dan perilaku ekonomi . Sebuah sistem cukai perlu diwujudkan yang dapat membendung aktiviti ekonomi tersembunyi. Jika tidak kerajaan akan hilang perolehan yang sepatutnya. (Itu rokok kaki lima, pusat perjudian haram, penyimpanan stok untuk mempengaruhi harga misalnya harus dihapuskan).
11. Pada ketika ini Malaysia sebagai sebuah negara membangun harus bersedia dari pelbagai aspek untuk mendepani GST, bahkan Kanada dan Australia sebagai sebuah negara maju juga mengalami keadaan yang agak tenat diawal pelaksanaan.Lebih penting lagi ialah apabila peningkatan perolehan yang didakwa akan didapati oleh kerajaan tidak pula diselaraskan dengan langkah-langkah membendung pembaziran dan penyelewangan , akan menjadikan GST bukan suatu sistem cukai yang bermanfaat malah mencetuskan musabah ekonomi yang lebih besar.
Unsur Keseimbangan :
1. Daripada RM264.2 bilion jumlah bajet yang dibentangkan,hanya RM2.049 billion dikongsi bersama Sabah dan Sarawak. Sedangkan peruntukan untuk Jabatan Perdana menteri sahaja pun mencecah RM16 Bilion. Anehnya, DS Musa Aman merakamkan terima kasih atas 'keprihatinan' kerajaan persekutuan dalam hal ini. Mungkin kita perlu belajar semula untuk memahami makna terima kasih dalam versi yang lebih wajar.
2. Bajet 2013 pun masih banyak yang belum dikecapi oleh rakyat Sabah, sedangkan 'keistimewaan' Sabah sebagai FIXED DEPOSIT tetap tidak dipandang 'mulia' dalam Bajet 2014. Sebagai negeri pengeluar minyak mentah dan kelapa sawit yang menyumbang pendapatan besar kepada negara, apakah Sabah hanya layak menerima tidak sampai 1% daripada bajet keseluruhan negara?
3. Lebih menyedihkan apabila golongan luar bandar Sabah terus disogokkan dengan bantuan tangki berbanding usaha untuk memperbaiki kemudahan air bersih terawat yang lebih baik. Sedangkan duit hasil Sabah mengalir kepada kerajaan persekutuan untuk memperhebat kemajuan di SM. Sudah tentu sekali lagi BR1M yang dinaikkan sebanyak RM150 dikatakan sebagai justifikasi untuk membantu golongan sederhana dan miskin. Satu lagi pembohongan yang nyata.
4. Bagaimana pula bantuan sekali setahun itu mampu mengimbangi kadar peningkatan kos yang ditanggung rakyat setiap hari seperti kenikan harga petrol, gula dan minyak masak? Semua item ini mempengaruhi pola perbelanjaan kehidupan secara keseluruhan.
5. Sabah boleh diumpamakan seperti sudah jatuh ditimpa tangga. Hasil sendiri tidak dapat dinikmati malah dapat kek ekonomi paling kecil. Tetapi beban sara hidup yang dialami akibat pemansuhan subsidi 'dinikmati' secara sama rata oleh rakyat Sabah, Sarawak dan Semenanjung. Sengsara sama rata tetapi bahagia berbeza.
6. Malaysia Timur mengharapkan pemansuhan terus polisi kabotaj, tetapi diumpan dengan KR1M. Peniaga kecil pasti hilang daya saing, ekonomi pasti menguncup kerana sistem kembali kepada monopoli kerajaan.
7. Jika Sabah urus hasil sendiri, Sabah tidak sepatutnya terbeban dengan hutang kerajaan Malaysia kerana kelemahan tadbir urus kewangan kerajaan persekutuan. Malah Sabah sepatutnya berkemampuan dan tidak lagi perlu menunggu penarafan kemudahan internet secara berperingkat tetapi setanding dengan dengan kelajuan internet di Korea Selatan yang 14 kali lebih laju berbanding Malaysia.
Kesimpulannya, Bajet 2014 memperlihatkan JANJI TIDAK DITEPATI kerajaan UMNO/BN melalui tema memperteguh ketahanan ekonomi negara dengan memindahkan beban hutang fiskal negara untuk ditanggung oleh rakyat secara terang-terangan. Apa yang nyata, rakyat Sabah dan Sarawak, yang sepatutnya mewah dan kaya dengan hasil bumi terpaksa merelakan kekayaan itu untuk dikunyah dengan rakus oleh kerajaan persekutuan atas nama Malaysia. Mungkin inilah maksud TS Harris Salleh bahawa semua keputusannya dahulu demi kebaikan Malaysia. Beliau betul. Malaysia dapat kebaikannya kerana walapun kerajaan korupsi, ketirisan perbelanjaan dan pembaziran ketara namun masih mampu bertahan dengan hasil bumi daripada Sabah dan Sarawak. Sayangnya, apakah Sabah turut mendapat kebaikan daripada keputusan-keputusan yang beliau ambil itu?
Jelas sekali, Bajet 2014 jauh daripada memenuhi hasrat sebagai 'equal partner' atau keseimbangan pembangunan ekonomi dan fizikal antara Negeri-negeri Borneo dan Persekutuan Tanah Melayu seperti yang dipersetujui dulu.
0 comments :
Post a Comment