Wednesday, 30 October 2013

Bangkit Rakyat Bangsa Negara Sarawak!



Salam Satu Borneo kepada semua warga Negara Sarawak dan juga Negara Sabah! Buat kali pertama saya mewakili UVSB (Sarawak) membuka lembaran bagi Negara Sarawak yang pertama. Saya berasa amat berbangga kerana dapat merangkap sepatah dua fikiran hati saya sebagai warga Negara Sarawak. 

Saya merupakan seorang pelajar yang kini sedang menuntut di sebuah universiti swasta di Kuching. Sebelum ini saya tidak pernah mengetahui apa-apa tentang sejarah sebenar Negara Sarawak ataupun Malaysia, sehingga beberapa bulan yang lalu. Masa itu secara rambang saya menaip 'can Sarawak be an independent country' dan saat itulah saya 'dibanjiri' maklumat-maklumat yang begitu mengejutkan.

Keesokan harinya saya pun mencari group atau page dalam Facebook yang berkaitan dengan isu sebegitu. Dari situlah saya mengetahui bahawa Negara Sarawak merdeka pada 22 Julai 1963 dan membentuk, bukan menyertai Malaysia pada 16 September 1963. Selama ini saya tahu bahawa pembangunan di Negara Sabah dan Negara Sarawak tidak sama rata dengan pembangunan di Malaya dan saya sangat hairan kenapa begitu. Rupa-rupanya disebabkan oleh peruntukan wang pembangunan yang tidak adil dan akibat sumber minyak dan gas asli yang telah 'dicuri' oleh Malaya melalui Perjanjian Pembangunan Petroleum 1995. Di samping itu, sistem kabotaj yang dikenakan ke atas Sabah dan Sarawak menyebabkan harga barangan-barangan di sini lebih mahal berbanding di Malaya. Selain itu, perjanjian 18/20 Perkara turut banyak diabaikan dan tidak dipatuhi oleh kerajaan persekutuan, khususnya Perkara 1, 2, 8, 11 dan 15.

Saya berasa amat geram dan kecewa terhadap apa yang kami alami dan tanggung selama ini. Kesemua kesusahan dan kepayahan yang kami alami, terutama rakyat Negara Sarawak yang menetap di kawasan pedalaman Negara Sarawak. Mereka kebanyakannya tiada kemudahan asas yang sempurna seperti air bersih, bekalan elektrik dan gas. Ini telah banyak menyusahkan kehidupan mereka dan akibatnya, mereka mudah dipengaruhi semasa pilihanraya umum demi pertukaran barangan-barangan asas seperti beras. Saya amat kecewa terhadap pembangunan yang tidak setara dengan Malaya. Mereka menikmati kemudahan yang begitu selesa seperti perkhidmatan LRT/MRT/Monorel dan lebuh raya yang besar dan rata. Jalanraya di Sabah dan Sarawak, khususnya di kawasan pedalaman adalah tidak mencapai piawaian yang standard. Keseluruhannya, saya rasa kerajaan persekutuan telah meminggir kami dari segi pembangunan dan kebajikan rakyat. Terdapat banyak rintihan sehingga saya tidak mampu untuk menceritakan semua di sini. 

Jadi, marilah kita rakyat Negara Sarawak! Bangkit untuk mempertahankan  maruah negara kita yang tersayang! Ayuh anak-anak muda Negara Sarawak! Jangan butakan hatimu, jangan pekakan telingamu! Mari kita menuntut balik hak-hak kita sebagai sebuah negara dan kedaulatan tanahair kita! Kalau bukan kamu, siapa lagi? Kalau bukan sekarang, bila lagi? Unite Sarawak!

Saya harap anda semua memahami mesej saya dan harap-harap anda semua menyebarkan kesedaran ini kepada rakan-rakan anda yang masih tidak tahu tentang sejarah sebenar negara kita. Sekian saja post saya malam ini. Semoga Tuhan merahmati anda. Terima kasih!

0 comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...