Sunday, 16 February 2014

TV3, RTM tidak siarkan banjir Sabah

Sebaliknya TV3 lebih berminat menyiarkan berita luar negara seperti letupan gunung berapi di Surabaya.

KOTA KINABALU: Media perdana TV3 dan RTM dikritik hebat rakyat Sabah melalui laman sosial kerana tidak menyiarkan langsung berita banjir yang melanda beberapa daerah di negeri itu pada Khamis. Hujan yang tidak berhenti-henti sejak Rabu menyebabkan berlaku banjir teruk terutama di pekan Tenom dan kawasan sekitar, pekan Keningau, Beaufort dan Membakut dan kawasan-kawasan berhampiran. Banjir terburuk itu mengorbankan seorang kanak-kanak berusia dua tahun dan lebih 5000 mangsa dipindahkan,  di Tenom sahaja, sejumlah 3230 mangsa terpaksa ditempatkan di pusat-pusat pemindahan. 

Apa yang dikesali, selama dua hari berturut-turut, Berita Perdana TV3 tidak langsung menyebut berita banjir di negeri Sabah itu. Sebaliknya TV3 lebih berminat menyiarkan berita-berita yang berlaku di luar negara seperti letupan gunung berapi di Surabaya. “Rakyat Sabah ingin berita banjir besar  disiarkan TV3 atau RTM bukan untuk dapat simpati pemimpin dari negeri-negeri lain tetapi untuk maklumat kepada rakyat Sabah sendiri kerana keadaan topografi Sabah yang luas dan sukar untuk sampaikan maklumat dengan cepat,” komen seorang penduduk. 

Selain daripada itu, rakyat Sabah khususnya dari kawasan yang terlibat dengan banjir melahirkan rasa kesal kerana syarikat GLC seperti Petronas yang memberi sumbangan jutaan ringgit di Pahang, Kelantan dan Terengganu, belum menunjukkan sebarang komitmen untuk membantu mangsa banjir di Sabah. Keadaan banjir meresahkan penduduk dan mereka terpaksa mengharungi banjir tanpa perhatian daripada kerajaan .Kerajaan Sabah turut  digesa memikirkan untuk mewujudkan rangkaian TV sendiri agar maklumat sebenar sampai dengan cepat dan tepat. Nim Yorza, penuntut di Pusat Pendidikan Luar Universiti Putra Malaysia (UPM) Kota Kinabalu berkata gelombang banjir kali ini merisaukan. 

‘Banjir lebih besar’

“Banjir yang melanda Tenom kali ini lebih besar daripada yang sebelumnya, “Banjir naik sampai ke Pasar Tenom dan ada banyak rumah yang hanya kelihatan bumbung, “Apa yang dikesalkan, laporan ini tidak diterima RTM dan tidak disentuh dalam berita perdana,’” tegas beliau. Sementara itu, pengguna Facebook yang sempat dirakam amat kesal dengan masalah ini dan mahu media perdana memainkan peranan yang lebih penting daripada hanya menjadi pengampu kerajaan. 

“Sabah seharusnya mempunyai siaran TV sendiri dan tidak terlalu bergantung pada Malaya,” tegas A. San Yong. Hendry Tajin pula berkata: “Inilah masalah kalau kawasan itu di bawah BN, apa-apa masalah tidak akan dihebohkan malah sesetengah Yb masih melaung-laungkan Sabah maju dibawah pentadbiran BN!” Isu banjir di Sabah sedang hangat diperkatakan di laman sesawang Facebook kerana tidak mendapat liputan meluas media. 

Sementara itu, Norainah Nordin, penduduk Beaufort kecewa dengan sikap kerajaan. “Bukan hendak mempersoalkan kerajaan cuma sedih mengenang nasib kami dalam menghadapi banjir dan kurang liputan, “Tetapi kalau masa pilihan raya, PM mengambil masa yang singkat turun ke Sabah, “Kalau Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan menghadapi masalah heboh ‘satu dunia’, apa pun tanpa mereka bilik gerakan banjir sudah bertungkus lumus dari semalam membantu,” tegas beliau. Norainah juga berkata penduduk tempatan berusaha sendiri daripada mengharapkan bantuan dari orang luar. 

0 comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...