Saturday 15 February 2014

Retreat Sabur, Banggi

Satu perkara yang sangat menyayat hati saya apabila saya sempat berbual dengan sebuah keluarga yang hanya tinggal sepasang suami isteri kerana kehilangan 4 orang anaknya kerana mengalami sakit di bahagian perut. Pada pendapat saya, mereka ini tidak memperoleh bekalan zat makanan yang mencukupi sehingga diserang penyakit sedemikian.

Pada 19 haribulan Januari yang lepas saya telah menyertai satu retreat yang dianjurkan oleh pihak SUEC yang berada di bawah kendalian Dr Khalid Johari anjuran Universiti Malaysia Sabah. Pihak UVSB telah dipelawa untuk menjadi sukarelawan bagi program tersebut dan seramai 13 orang telah menyertai aktiviti tersebut. Pada 19 haribulan itu bersamaan dengan hari ahad, rombongan kami telah bertolak dari Kampus Universiti Malaysia Sabah sekitar pada pukul 8 pagi itu dan selamat tiba di terminal feri Kudat sekitar jam 12 tengahari. Setelah itu kami meneruskan perjalanan ke Karakit, Banggi  dengan menaiki feri dan setibanya kami di pecan Karakit mengambil masa selama 1 jam 30 minit. Keesokan harinya kami meneruskan perjalanan ke destinasi yang sebenarnya iaitu di Kampung Sabur. Retreat yang diadakan selama 5 hari 4 malam itu merupakan satu pengalaman yang sangat bermakna bagi kami kerana melalui penglibatan dalam aktiviti tersebut telah memberi kami peluang untuk meninjau keadaan masyarakat setempat di kawasan Pulau Banggi itu terutama di Kampung Sabur sendiri.

Sepanjang program itu berlangsung, kami telah diberi peluang untuk mengikuti dua aktiviti yang dianjurkan olah retreat ini iaitu Modul dan Asimilasi. Program Modul ini diadakan bersama dengan para pelajar sekolah rendah yang terdiri daripada pelajar tahun 4,5 dan 6 manakala aktiviti Asimilasi pula adalah aktiviti di mana kami masuk ke beberapa buah kampung untuk meninjau keadaan masyarakat setempat dan melalui tinjauan tersebut kami dapat mengetahui situasi mereka yang sebenar. Pada hari pertama mengikuti Asimilasi di Kampung Sabur, saya mendapati bahawa kampung ini merupakan kampung yang masih sangat mundur dari segi kemudahan infrastruktur sehinggakan masih ada di antara mereka yang tinggal di kawasan hutan dan ini menyebabkan masyarakat di situ sukar untuk memperoleh bekalan makanan untuk keperluan seharian. Kami dibahagikan kepada beberapa kumpulan dalam sesi asimilasi ini dan dalam sebuah kumpulan itu terdapat dua orang. 

Dalam sesi asilmilasi ini saya sendiri melihat dan berpeluang untuk berinteraksi dengan penduduk kampung mengenai kehidupan yang mereka jalani di tempat tersebut. Kegiatan ekonomi yang mereka jalankan hanyalah menanam ubi kayu, pisang dan menangkap ikan namun itu tidaklah mencukupi untuk menampung keperluan mereka seharian kerana ada di antara mereka yang mengatakan bahawa hanya memperoleh sebanyak RM 3 sehari itupun sekiranya ada. Melalui pengamatan saya juga, saya melihat bahawa mereka tidak memperoleh bekalan makanan yang mencukupi sehinggakan keadaan badan mereka yang sangat kurus dan kecil namun begitu mereka tetap juga mampu untuk meneruskan aktiviti mereka seharian. Satu perkara yang sangat menyayat hati saya apabila saya sempat berbual dengan sebuah keluarga yang hanya tinggal sepasang suami isteri kerana kehilangan 4 orang anaknya kerana mengalami sakit di bahagian perut. Pada pendapat saya, mereka ini tidak memperoleh bekalan zat makanan yang mencukupi sehingga diserang penyakit sedemikian. 



Penduduk kampung yang tinggal jauh di kawasan pedalaman juga sangat susah untuk memperoleh bekalan ubat-ubatan kerana klinik yang yang terdekat hanya ada di Pekan Karakit yang boleh dikatakan agak maju berbanding dengan kawasan kampung lain yang ada di Pulau Banggi. Untuk pergi ke sana, penduduk kampung terpaksa mengeluarkan duit sebanyak RM 30 untuk sekali perjalanan ke Pekan Karakit dan ini sangat menyukarkan mereka kerana tidak mempunyai wang. Jika hendak membeli beras sangatlah susah bagi mereka inikan pula tambang ke Pekan Karakit. Dan inilah sebabnya mereka tidak memperoleh bekalan makanan dan ubat-ubatan yang sebenarnya menjadi keperluan bagi mereka.



Penghargaan kepada Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan NGO daripada SUEC Concern Citizen Association dibawah kendalian Dr.Khalid Johari



(HARNEFER JOHUMIN)
Presiden United Varsity Students Of Borneo (SABAH)


0 comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...