Ironi 1.
Kes pencerobohan di Lahad Datu oleh pengganas atau pun mahu dikenali sebagai Angkatan Keselamatan Diraja Kesultanan Sulu genap setahun hari ini. Kampung yang terlibat kini kosong dan hanya tinggal sisa runtuhan rumah. Ada juga cerita gembira apabila penduduk yang dipindahkan menerima bantuan berupa rumah baru dan juga wang ringgit.
Namun apa yang lebih penting untuk kita sedar ialah, apakah cerita yang hampir dilupakan ini sekadar sebuah kenangan pahit tanpa ada inisiatif terbaik untuk menjadikan kes ini suatu iktibar dan mencari jalan penyelesaian?

Apa yang menghairankan ialah perjanjian ini dibuat oleh satu pertubuhan pembebasan Mindanao yang lebih 'junior' atau serpihan daripada sebuah lagi pertubuhan dengan misi yang hampir sama iaitu Moro National Liberation Front (MNLF) pimpinan Nur Misuari. Mengapakah bukan Nur Misuari yang dibawa dalam perundingan itu? Sedangkan selepas insiden pencerobohan itu, suara paling lantang kedengaran adalah daripada pihak MNLF iaitu Nur Misuari sendiri dan bukannya MILF. Lebih daripada itu ialah apakah kepentingan Malaysia menjadi orang tengah perjanjian itu yang pada akhirnya hanya membawa kepada pencerobohan Lahad Datu pada 11 febuari 2013? Sejurus selepas bermula insiden itu ada pula pendedahan media Filipina (mb.com.ph) yang mengatakan bahawa DS Najib menjanjikan tanah kepada warga Sulu.

Ironi 2.
Sepatutnya kerajaan Sabah pimpinan Barisan Nasional mengambil langkah tegas untuk memastikan keselamatan wilayah Sabah ini benar-benar terjamin. Tidak hanya dengan mengharapkan zon keselamatan yang diletakkan di bawah tadbir urus ESSZONE yang jelas longgar berikutan berlaku beberapa kes melibatkan penculikan di perairan walaupun sesudah ESSZONE diaktifkan.

Berbangkit soal sejarah, khususnya berkaitan dengan tuntutan Sulu terhadap Sabah, kita tidak mahu mengulas panjang soal Pajakan 1878 atau pun Protokol Madrid 1885 bahkan Perjanjian Carpenter 1915. Bercakap soal ini kita akan berbahas panjang soal 'istilah perundangan' apatah lagi menterjemah isi perjanjian-perjanjian lama.
Namun apa yang jelas, Sabah bukan lagi Borneo Utara. Kesultanan Sulu juga hampir boleh dikatakan tidak wujud lagi secara rasmi dengan sebuah pemerintahan yang berkuasa. Hanya sekadar sebuah penghormatan tradisi. Begitu juga warga Sulu sendiri juga tidak dapat memastikan waris sebenar kesultanan ini. Malah wang pajakan yang diberikan kepada waris kesultanan ini juga bukan lagi kepada kerabat Pewaris Kedua yang sepatutnya penyambung kesultanan ini selepas Pewaris Pertama 'dimansuhkan' kuasa dengan rela melalui Perjanjian Carpenter.
Maka Kerajaan Malaysia seharusnya mempunyai asas yang kukuh untuk membatalkan pajakan tersebut dan menukarkannya dalam bentuk pampasan agar 'sangkut paut' cerita lama ini segera berakhir. Ini kerana Kerajaan Filipina juga tidak mempunyai hak mutlak menuntut Sabah kerana mereka tidak dapt membuktikan bahawa wilayah jajahan Sulu telah menjadi milik Kerajaan Filipina. Namun ironinya mengapa Sabahan terus dibiarkan 'bergantung' kepada 'pemerintah' demi harga sebuah keselamatan dan keamanan yang dijadikan bahan 'tarik tali' dalam percaturan politik? Hal negara lain, mendabik dada dianggap orang tengah yang baik dalam rundingan tetapi negara sendiri dibiarkan tanpa pembelaan konkrit.
.jpg)
Bahkan dengan ulasan Pengarah Jabatan Statistik Sabah Norezan Wahid yang berkata sejumlah 889,000 orang asing dari 3.2 juta penduduk Sabah, atau 28 peratus, berdasarkan bancian tahun 2010. Ini sesuatu yang harus diambil perhatian. Jumlah populasi yang diambil pada 15 Jun 1960 menyatakan Melayu dalam kelompok LAIN-LAIN hanya berjumlah 1645 orang namun kini Melayu di Sabah sudah disamatarafkan keistimewaannya dengan orang asal Sabah bahkan lebih ramai daripada Murut walaupun pada tahun 1960 Murut merupakan satu kumpulan etnik ketiga terbesar dengan jumlah 22,138 di belakang Bajau dan Dusun. Persoalannya siapakah Melayu itu? Projek IC?
Manakala jika kita melihat unsur keselamatan ini dari segi kekuatan logistik dan ketenteraan, Sabah dan Sarawak yang jauh lebih luas daripada Semenanjung Malaysia ini hanya mempunyai bilangan markas atau kem tentera yang sedikit berbanding Semenanjung Malaysia. Bahkan dalam isu pencerobohan Tanduo, 3 buah pesawat pejuang F/A-18 Hornet dan 5 Hawk dioperasikan dari Labuan selepas diterbangkan dari Semenanjung Malaysia. Apakah Sabah tidak mampu mengoperasikan jet pejuang sendiri? Bukankah pemimpin Sabah ketika menandatangani Perjanjian Malaysia dulu dipengaruhi oleh faktor keselamatan yang dijanjikan?
Kesimpulannya, selagi isu kewarganegaraan tidak diselesaikan dan hak pentadbiran tidak diberikan secara autonomi kepada Kerajaan Sabah, sehebat manapun kita menjaga wilayah persempadanan, ia pasti akan kembali kepada titik mula permasalahan yang tidak berkesudahan.
Hasmin Azroy Abdullah,
Penasihat UVSB.
0 comments :
Post a Comment