Jika ditanya tentang “Sejarah”, yang ada dalam minda saya adalah sesuatu perkara yang membosankan malah tidak memberikan saya sebarang faedah sehinggakan semasa saya berada dalam Tingkatan satu, saya adalah salah seorang daripada mereka yang “tertidur” semasa guru sedang mengajar dalam kelas dan ia adalah tanda bahawa saya sangat tidak menyukai sejarah. Namun begitu, saya menyedari bahawa “Saya dan Sejarah” tidak dapat dipisahkan sehinggalah saya menjejakkan kaki ke Universiti dan mengambil jurusan dalam bidang Sejarah, dan disinilah bermulanya kisah yang menyemarakkan semangat Nasionalisme dalam diri saya yang mana saya telah mengetahui suatu kebenaran tentang Negara Sabah, Tanah Tumpah Darahku yang sememangnya telah dimerdekakan oleh British dan diiktiraf sebagai sebuah Negara yang merdeka dan berdaulat pada 31 Ogos 1963.
Namun demikian, jika dilihat senario pada masa kini, kedudukan Sabah tidaklah setaraf sebagaimana sebuah Negara kerana secara realitinya Sabah menerima penindasan demi penindasan dan suatu yang menyedihkan adalah Bangsa Negara Sabah sendiri tidak peka akan hal ini malah mengatakan “Syukurlah kita sudah hidup aman dalam Malaysia”. Secara jujur, hal ini juga pernah timbul di minda saya semasa masih “dibutakan” dengan Sejarah dan menyedari akan hal ini, saya tidak mahu terus dibuai mimpi menelan janji-janji manis pihak malaya yang akhirnya hanya merosakkan Negara Sabah.
Juga jika lihat permainan politik pada masa kini, kita ambil contoh jawatan dalam Kerajaan Negara Sabah, berapa peratus daripada warga Negara Sabah yang mendapat tempat dalam jawatan dalam perkhidmatan awam? Sudah pasti pihak malaya yang memonopoli kesemua jawatan ini walhal kedudukan istimewa anak watan Negara Sabah dan Negara Sarawak mengenai kedudukan yang disediakan di dalam Perkhidmatan Awam termaktub di dalam Artikel 161 A Perlembagaan Persekutuan yang mana ia sebenarnya memberikan anak watan Borneo kedudukan yang setaraf dengan kedudukan orang Melayu di bawah Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan berhubung dengan kuota yang dikhaskan dari segi perkhidmatan dan permit. Pindaan perlembagaan 1971 telah memansuhkan kedudukan istimewa dan ekslusif anak Borneo dan sejak daripada itu anak kelahiran Sabah dan Sarawak dirujuk sebagai orang "melayu".
Adakah benar kita ini adalah orang melayu? Adakah benar kita ini tidak memiliki kelayakan dan hanya mereka sahaja yang berkelayakan dalam memegang sesuatu jawatan dalam Kerajaan sehingga membuka ruang untuk mereka memonopoli semua?
Dan wajarkah kita ini diperlakukan sedemikian rupa sedangkan sebelum terbentuknya "Persekutuan Malaysia" ini, suatu janji yang ditabur kepada penduduk Bangsa Borneo adalah kedudukan yang sama rata dan sebagai sebuah "Rakan Kongsi" sama rata. Pada saya, ia hanyalah sebuah "Janji Manis Terang Bulan" demi meraih kepercayaan penduduk Bangsa Borneo ketika itu untuk membentuk "Persekutuan Malaysia".
Wahai Generasi Muda Negara Sabah, BERHENTILAH untuk menjadi takut akan ancaman daripada pihak mereka yang cuba menjatuhkan kita kerana itu hanya akan membawa kepada kegagalan dalam mencapai misi mengembalikan kedaulatan Negara Negara kita yang tercinta. Sekali kamu mengetahui kebenaran ini, jangan berdiam diri sahaja tetapi sebaliknya bersama-sama dengan saya untuk menyebarkan kebenaran ini bahawasanya Negara kita adalah sebuah Negara yang Merdeka dan selayaknya menikmati kehidupan yang lebih baik dan setaraf dengan mereka.
Secara peribadi, semakin saya mendiamkan diri semakin sakit pula terasa... Sepertinya ada beban yang amat berat yang duduk diam dalam hati ini... Mahu sahaja saya membisukan mulut dan menutup telinga untuk membiarkan sahaja tanggungjawab ini tidak terpikul yang seharusnya saya pikul sebagai Anak Bangsa Negara Sabah yang cintakan Negara... Tetapi saya tidak mahu mementingkan diri sendiri... Harus kaki ini melangkah untuk memberitahu Kebenaran kepada semua orang bahawasanya Negaraku, Tanah Tumpah Darahku, Sabah adalah sebuah Negara yang telah Merdeka pada 31 Ogos 1963 dan selayaknya memiliki Kuasa Autonomi untuk memerintah Negara sendiri akan tetapi di manakah perginya semua hak itu?
Penindasan demi penindasan dilakukan terhadap Negara ini sedang dan terus berterusan secara halus... Sekali lagi, saya tidak mampu melakukannya sendirian... Saya memerlukan suara lantang daripada Generasi Muda Bangsa Borneo, Bangsa Negara Sabah untuk bersama menegakkan kebenaran ini, oleh itu, mari bersama saya untuk membebaskan dan melakar sejarah yang baru untuk menjadi tatapan dan Pengajaran untuk Generasi Muda bagi Negara kita yang tercinta ini... Kita pasti boleh lakukannya sekiranya kita Berpakat dan Sebulat Hati serta Bersatu Tenaga, Minda, Jiwa dan Raga untuk mencapai tujuan ini... Kita Boleh lakukannya! Sabah Boleh!!!
Harny Johumin merupakan Peserta Ke-6 untuk Kempen Kesedaran Bangsa Borneo (Borneo Awareness Campaign). Beliau telah berkongsikan pengetahuan dan nila sejarah sebelum dan selepas didedahkan mengenai Kebenaran yang selama ini disembunyikan daripada pengetahuan orang ramai.
Sila sebarkan artikel ini jikalau anda bersetuju dengan Perkongsian Kesedaran beliau ini seberapa banyak yang anda mampu. Untuk Bangsa Negara Sabah!
Sila sebarkan artikel ini jikalau anda bersetuju dengan Perkongsian Kesedaran beliau ini seberapa banyak yang anda mampu. Untuk Bangsa Negara Sabah!
0 comments :
Post a Comment