Thursday, 28 August 2014

Serangan Poster Sabah Merdeka Day

Beaufort, 25 Ogos 2014 - Seorang anak muda Negara Sabah kelahiran Beaufort telah mengambil inisiatif sendiri untuk menyebarkan Kesedaran Kemerdekaan Negara Sabah Kali Ke-51 Tahun dengan menggunakan poster manilakat dan telah menggantungkannya disekitar jalan utama Pekan Beaufort.


Anak muda ini yang tidak mahu identitinya didedahkan mengatakan bahawa tindakan beliau ini adalah disebabkan oleh dorongan diri yang lahir daripada kesedaran dengan sendirinya untuk menyebarkan kebenaran yang selama ini disembunyikan oleh pihak-pihak tertentu.

Menurut beliau, selama ini anak-anak Bangsa Negara Sabah telah disajikan dengan fakta auta ataupun fakta palsu dan sampai bila perkara ini harus berterusan? Seperti yang tercatat dalam sejarah yang boleh diperolehi di Arkib Negeri (Negara) Sabah, British telah memberikan Kemerdekaan kepada Negara Sabah pada 31 Ogos 1963 tetapi mengapa sejarah ini tidak didedahkan didalam buku teks? Mengapa pula sejarah kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 yang dihebohkan, dicatatkan dan diajar di sekolah, kolej serta di peringkat universiti? Mengapa ia terang-terangan disiarkan di televisyen dengan fakta yang salah? Apakah kita yang telah mengetahui kebenaran ini harus mengangguk dan membiarkan kepalsuan fakta ini menjadi satu kepercayaan selamanya? Sudah tentut tidak, ulasnya.

Tambahan beliau lagi, tidak salah untuk menghebohkan 31 Ogos 1957 kepada umum tetapi ia harus memaklumkan bahawa tarikh tersebut adalah tarikh Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) dan bukan Malaysia. Ini kerana Persekutuan Malaysia tidak pernah dijajah. Jadi, kalau tidak pernah dijajah, mengapa menyambut hari kemerdekaan? Jikalau anda mengatakan bahawa Persekutuan Malaysia pernah dijajah, negara dan kuasa manakah yang pernah menjajah Persekutuan Malaysia? Setahu saya, hanya negara-negara anggota dalam Persekutuan Malaysia sahaja yang pernah dijajah oleh British iaitu Negara Sabah (dahulunya dikenali sebagai North Borneo), Negara Sarawak, Negara Singapura (telah disingkirkan oleh Malaya) dan juga Persekutuan Tanah Melayu (Malaya).

Mengulasnya dengan lebih terperinci, mengapa tidak negara-negara dalam Persekutuan Malaysia merayakan Hari Kebangsaan negara masing-masing dan pada 16 September barulah bersama-sama merayakan Hari Pembentukkan Malaysia secara besar-besaran yang mana ia juga dikenali sebagai Malaysia Day. Ini kerana Persekutuan Malaysia dibentuk pada 16 September 1963.

Beliau menyatakan bahawa Negara Sabah diberikan Kemerdekaan pada 31 Ogos 1963, Negara Sarawak pada 22 Julai 1963 dan Malaya pada 31 Ogos 1957.

Sepanjang aktivitinya semalam, beliau mengatakan bahawa ada seorang lelaki samseng jalanan telah menghampiri dan mahu menyerangnya serta mengugut untuk mencederakan dengan menggunakan sebatang pembuka skru tayar kereta (spanar) atas alasan orang tersebut mahu melarangnya daripada meneruskan aktiviti penyebaran kesedaran tersebut. Namun, beliau mengatakan kepada lelaki tersebut bahawa ini adalah tanggungjawab saya sebagai orang yang sedar untuk memberikan kesedaran kepada orang lain. Mengapa pula anda mahu menghalang? Saya tidak menggangu anda dan jangan menggangu saya juga. 

Kejadian tersebut berlarutan sehingga ahli keluarga pihak samseng jalanan tersebut telah datang dan keadaan bertambah rumit. Akhirnya kes tersebut dibawakan ke Balai Polis Beaufort tetapi tidak direkodkan kerana lelaki samseng jalanan tersebut telah meminta maaf setelah menimbang segala risiko yang bakal dihadapi kerana tindakannya yang tidak menggunakan akal. Difahamkan lelaki tersebut merupakan orang samseng umno Beaufort.

Apabila ditanya mengenai jumlah perbelanjaan untuk menampung kos aktiviti tersebut, beliau mengatakan bahawa aktiviti yang telah dilakukannya adalah dalam sekitar RM50 sahaja. Beliau mengatakan juga bahawa kebenaran itu adalah pelita yang akan menerangi kegelapan dan atas sebab itu, beliau sanggup untuk membelanjakan duit kerana untuk menyedarkan anak-anak bangsa Negara Sabah yang belum mengetahuinya khususnya di daerah Beaufort.

Laporan disediakan oleh pihak Media Eksmerd

1 comment :

  1. Tahniah atas inisiatif ini.

    Tidak lama lagi, Sabah akan meraikan ulangtahun kemerdekaan yang ke55 pada 31 Ogos 2018. Saya menyeru supaya lebih ramai lagi yang akan meniru inisiatif seperti ini. Kalau setiap seorang yang membaca komen ini membuat 1 poster dan menampal di Kampung sendiri, di perhentian bas misalnya, pasti akan dibaca dan seterusnya mendorong penduduk untuk menyelurusi kisah sebenar Sabah.

    Usaha kecil jika dilakukan bersama-sama pasti membuahkan hasil yang besar akhirnya.

    Mari kita mulakan dengan kos yang kita mampu.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...